Bentuk mindset
mereka
Saya sering berhadapan dengan pelajar-pelajar yang tidak menggemari mata
pelajaran Matematik di sekolah. Ramai ibu bapa yang mengadu anak mereka
sangat lemah dalam mata pelajaran tersebut, Kenyataan ini disokong lagi dengan
keputusan peperiksaan mereka yang tidak pernah lulus mata pelajaran Matematik.
Apabila saya berhadapan dengan pelajar yang menghadapi situasi begini,
biasanya saya akan cuba mendiagnosis mereka bagi mencari punca mereka tidak
menggemari subjek tersebut. Adakah memang mereka sangat lemah menguasai operasi
dalam mata pelajaran tersebut ataupun mereka tidak tahu teknik menjawab soalan?
Sangkaan saya meleset kerana hasil diagnosis saya adalah 90% daripada mereka
mempunyai punca yang sama iaitu kepercayaan mereka terhadap mindset mereka yang
telah ditanam bertahun-tahun lamanya dalam minda mereka.
Apabila saya bertanya mengapa mereka tidak suka dan tidak memahami mata
pelajaran tersebut, memberi jawapan yang sama iaitu:
# Matematik sangat susah kerana terlalu banyak formula
yang perlu diingat.
# Ibu bapa serta guru-guru Matematik saya sebelum ini
mengatakan saya sangat lemah dalam Matematik.
# Saya sering gagal dalam mata pelajaran tersebut. Saya
mungkin tidak akan lulus sampai bila-bila.
# Matematik perlu banyak latihan.
Kepercayaan diperoleh daripada pengalaman sudah menjadi mindset yang
tertanam dalam minda sehingga mereka tidak mampu mengubahnya lagi. Lebih
menyedihkan, apabila mereka sebenarnya mempunyai potensi yang sangat baik dalam
mata pelajaran Matematik.
Proses menukar mindset ini perlu dilakukan secara berperingkat sehingga
akhirnya mindset lama ditukar dengan mindset yang baru dan mereka mula
berusaha memperbaiki diri. Akhirnya
mereka sedar bahawa mereka juga mampu berjaya seperti orang lain.
Jadi, penting untuk kita sering membentuk mindset yang baik kepada
anak-anak autistik kita supaya mereka tidak rasa rendah diri dan merasakan
bahawa mereka juga mempunyai potensi yang sama seperti adik-beradiknya yang
lain.
Saya sering memberi positive affirmation kepada Rizqy ( nama anak saya ) dan
minta dia menyebutnya bersama-sama. Positive
affirmation berbeza dengan pujian.
Pujian kita berikan kepada mereka sebagai tanda kita menghargai setiap
kejayaan yang mereka lakukan. Manakala positive
affimation pula ialah satu perakuan secara positif yang diucapkan sendiri
oleh mereka sehingga mereka sangat percaya bahawa apa yang diucapkan oleh
mereka itu adalah benar, sekali gus menjadi mindset yang tertanam dalam minda
mereka.
Setiap kali Rizqy berjaya melakukan sesuatu tugasan akademiknya, saya
mengajarnya mengucapkan, Alhamdulillah, abang
hebat dan dia cukup bersemangat sewaktu mengucapkannya.
Apabila dia tidak dapat melakukan tugasan baru, saya akan cepat-cepat
mengingatkannya, Abang mesti boleh buat, abangkan hebat.
Dia akan berusaha sedaya upaya sehingga
akhirnya diamampu melakukan dengan baik.
Jangan sesekali membentuk mindset anak dengan mengaitkan kekurangannya
sebagai alasan apabila dia tidak dapat melakukan sesuatu tugasan. Tugas kita
adalah untuk menampakkan yang mereka bertuah dan berbeza kerana dipilih oleh
Allah menjadi seorang autistik.
Wallahu ’alam
Genius dari syurga
Ainizal Abdul Latif
Gruf Buku Karangkraf Sdn.Bhd.
2015
No comments:
Post a Comment