Tuesday, March 27, 2012

Menjadi hebat dengan membaca


Ada kepuasan yang berbeza apabila kita membaca buku berbanding dengan membaca majalah mahupun akhbar. Dengan kita membaca akhbar, kita memperoleh lebih banyak berita daripada maklumat.

Kerencaman kandungan akhbar dan pendeknya sesebuah berita itu menjadikan kita dapat menghabiskan bacaan sesebuah akhbar dalam waktu singkat. Kepuasan membaca pun sedikit.

Apabila kita membelek majalah pula, keseronokan membaca kita bertambah berbanding membaca akhbar. Selain daripada berita, majalah memaparkan maklumat yang boleh dijadikan pengetahuan.
Artikel-artikel yang dipaparkan juga lebih panjang dan justeru itu menjadikan minda kita lebih terisi.

Membaca buku pula memberikan kita kepuasan yang maksima. Tidak kira sama ada kita membaca buku hardcopy ataupun e-book, membaca buku adalah kegiatan maraton berbanding dengan majalah yang dianggap sebagai senaman minda untuk jangka waktu yang pendek atau membaca akhbar yang lebih singkat masa bacaannya.
Panjangnya tempoh membaca sesebuah buku itu menjana kelestarian minda. Kondisi ini amat memuaskan. Apakah kepuasan itu? Kepuasannya ialah apabila kita dapat mengadakan hubungan psikik dengan si penulis buku itu. Apabila seseorang penulis hendak menghasilkan bukunya, dia harus melalui proses yang rumit dan mengambil masa.

Penulis yang hendak menghasilkan sesebuah buku biasanya mempunyai sesuatu idea, gagasan, teori atau penemuan besar yang ingin disampaikannya kepada khalayak. Sebelum menulis, dia akan melakar konsep dan idea buku yang ingin ditulisnya. Idea dan konsep ini akan disusun dari mula hingga akhir.

Dia akan mengumpul bahan-bahan penyelidikan dan rujukan yang digaul menjadi manuskrip ilmiah mahu pun fiksyen. Untuk melakar ideanya, si penulis perlu menumpahkan apa yang ada di dalam fikirannya ke skrin komputer. Pastinya idea yang terzahir ini akan disemak dari segi kesahihan fakta, kesinambungan idea, kelogikan pendapat yang kemudiannya diuli dan disusun menjadi ayat yang mudah difahami oleh pembaca. Kemudian, manuskripnya akan disemak dan disunting oleh editor daripada segi ketepatan fakta dan kesinambungan idea.

Akhirnya, apabila sesebuah buku itu lahir, ia merupakan satu rantaian minda penulis yang biasanya dapat diikuti secara linear dari halaman pertama sehinggalah halaman yang terakhir. Bayangkan. Seseorang penulis itu mungkin mengambil masa bertahun untuk menyiapkan sesebuah buku. Ideanya yang rencam, dikumpul menjadi rencah tulisan yang diadun, diperam dan disaring. Hanya pati ideanya sahaja dipersembahkan dalam bentuk sebuah buku. Kita sebagai pembaca boleh dengan mudah menghazam inti fikirannya yang dikumpul bertahun lamanya dalam masa sehari!

Ketika membaca karya seseorang penulis, kita seolah-olah mengembara dan menyelami minda dan hatinya. Meskipun si penulis telah meninggal dunia, kita masih dapat belajar daripadanya. Andainya sebuah buku karyanya dibaca, kita memperoleh sebahagian daripada pemikirannya. Sekiranya kita membaca dua atau tiga atau lebih buku karya seseorang penulis itu, ia bererti kita memperoleh pemikiran si penulisnya.

Bayangkan, jika kita membaca Al-Muqqadimah karya Ilmu Khaldun, kita memahami ilmu falsafah sejarah daripadanya. Andainya kita membaca pula buku Roh, karya Ibnu Qayyim, seorang ilmuwan Islam, kita belajar mengenai roh daripadanya.

Buku Lateral Thinking oleh Edward de Bono, A Brief History of Time oleh Stephen Hawking, The Art of War oleh Sun Tse, adalah mengenai teknik berfikir, fizik dan seni peperangan. Apakah maknanya apabila kita sudah membaca kesemua buku-buku ini? Ia bererti, di dalam diri kita sudah ada pemikiran Ibnu Khaldun, Ibnu Qayyim, Edward de Bono, Stephen Hawking dan Sun Tse setelah kita membaca buku-buku mereka.

Setakat ini, berapa buah bukukah yang kita telah baca? Andainya seratus buah oleh penulis yang berbeza, ia bererti, pendekatan pemikiran kita adalah rangkuman daripada pemikiran 100 orang manusia. Bijakkah kita? Kita bijak jika kita berhati-hati memilih buku yang ingin dibaca. Andainya kita memilih karya-karya para ilmuan yang hebat, maka kita juga akan punyai pemikiran yang hebat.

Sebaliknya, andainya kita memilih bahan bacaan yang mudah dan ringan, maka cara berfikir kita pun mudah dan ringan.
Jadilah orang yang punyai fikiran yang hebat, bukan berkarat.

( Norden Mohamad; Sinar Harian 21 Mac 2012 )




Mari membaca KalamNya....
wallahu’alam.


No comments:

Post a Comment