Wednesday, June 14, 2017

Guridam menilik diri

Apatah diharapkan jasa orang
Dayunglah perahu meluncur ke seberang

Apatah disesali hal yang sudah terjadi
Iktiarkan segera agar dapat diatasi

Apatah dimarahi orang tidak berbuat apa-apa
Bukankah kita berusaha insya-Allah mendapat pahala

Apatah faedahnyamengata-ngata
Diri sendiri manakah sempurna

Apatah guna meremehkan kerja orang
Hasil kerjanya sendiri bagai telur tembelang

Apatah dibesar-besarkan perkara yang kurang
Tambah dan baikilah tidak perlu menyerang

Apatah ditenung tungau di seberang
Gajah di hadapan mata pelihatan terhalang

 Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016

As-Sabur

Asma ul-Husna ke-99

As-Sabur ertinya Maha Penyabar Zat yang Sangat Sabar sebagaimana firmanNya bermaksud:
Dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.
(Ali-Imran:146)

Zat Yang Sangat Sabar

As-Sabur berasal dari akar kata shabr yang ertinya menahan diri daripada mengungkapkan kesedihan yang menyelimutinya. As-sabur adalah Maha Sabar, yang kesabaranNya lebih besar dari sesiapa pun. Bulan Ramadhan disebut bulan kesabaran dan ketabahan lantaran ketika siang harinya, kaum mukmin menahan dirinya daripada mengikuti pada keinginan-keinginan.

As-Sabur tidak tergesa-gesa berbuat sesuatu secepat mungkin. Sebaliknya, Dia mengurus urusan-urusan menurut suatu ukuran. Dia memperlakukan mereka menurut sebuah rencanaNya yang tersusun baik; Dia tidak menghalangi mereka dari mencapai arahan-arahan mereka yang ditetapkan kerana kemalasan atau kelalaian ataupun Diamemajukan pelaksanaannya. Sebaliknya, Dia melakukan segala sesuatu tepat pada waktunya, dengan carasebaik-baiknya.

As-Sabur tidak terburu-buru untuk mengazab para penderhaka atau menghukum orang yang berbuat maksiat. Dia tidak berbuat sesuatu pun selain kerika itu merupakan kesempatan yang paling tepat lantaran kearifan, kemuliaan dan kelembutanNya. Dia tidak terganggu oleh orang-orang yang berbuat dosa. Dia mengambil orang-orang yang berbuat salah menurut waktu yang ditetapkan sebelumnya.

As-Sabur memerintahkan  dan memberhentikan orang-orang yang kepada mereka Dia turunkan perintahNya. Dia berbuat dan tidak tergesa-gesa, tidaklah Dia berbuat sesuatu secara prematur. Diamemerintahkan dan perintahNyamenurut kadar tertentu. Dia menangguhkan hukuman meskipun waktunya telah tiba.

Memiliki kesabaran yang tinggi

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kesembilanpuluh sembilan dengan bercermin padaAsma ul-Husna ialah memiliki kesabaran yang tinggi dan sekaligus ketabahan.

As-Shabur mengilhamkan kesabaran dan ketabahan kepada semua makhlukNya. Makna sifat as-Sabur sangat dekat dengan pengertian sifat al-Alim, ertinya Sangat Bijaksana.

Salah satu cerminan akhlak mulia seorang mukmin dalam menurunkan petunjuk moral dari inspirasi sifat as-sabur adalah ia menanamkan dalam dirinya makna-makna eloknya, sehingga ia bersabar dalam semua keadaan. Siapun yang mengevaluasi bagaimana Allah memperlakukan hamba-hambaNya, bagaimana Dia bersabar dalam menghadapi kekasaran dan kederhakaan manusia, ketika Dia terus memberi mereka istirehat satu demi satu, akan mempelajari bagaimana memperlakukan orang lain menurut petunjuk Ilahi dengan cara terbaik menurut kemampuannya.

Setiap kali kesabaran dilakukan berulang-ulang oleh seorang hamba Allah, ia menjadi kebiasaan, dan kemudian ia akan mengikuti hidayah Allah. Golongan manusia yang sabar akan didahulukan sebelum yang lainnya sebagaimana dalam ayat yang bermaksud;

(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
(Ali Imran:17)

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

Ar-Rasyid

Asma ul-Husna ke-98

Ar-Rasyid ertinya Allah Maha Pandai dan Bijaksana, Zat yang Memberi Petunjuk sebagaimana firmanNya bermaksud:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul.
(Al-Baqarah:186)

Maha Pandai dan Zat Yang Memberi Petunjuk

Sifat al-Rasyid berasal dari akar kata Rusyd, ertinya petunjuk, kesolehan dan kejujuran. Lawannya adalah penyimpangan dan kelicikan.

Ar-Rasyid dicirikan oleh kesempurnaan yang utuh, kearifan yang besar, petunjuk yang global. Dialah Zat yang pengaturannya atas semua masalah mencapai tujuan yang berjaya. Dia membimbing makhluk-makhlukNya dan mengarahkan mereka pada sesuatu yang terbaik bagi mereka. Dia membimbing mereka melalui kebijaksanaanNya terhadap pencapaian kesejahteraan mereka dalam kehidupan dunia ini dan kehidupan mendatang.

Ar-Rasyid adalah al-Mursyid, Zat yang mengilhamkan petunjuk nan lurus bagi mereka yang menaatiNya. Dia telah mengarahkan semua makhluk pada petunjukNya. Zat yang taliNya demikian kuat, yang perintahNya adalah bijaksana.

Pandai, bijaksana dan sentiasa menasihati

Merujuk kepada perkara ini makasifat manusia yang kesembilanpuluh lapan dengan bercermin padaAsma ul-Husna ialah pandai, bijaksana dan sentiasa gemar memberi nasihat dan bimbingan.

Jika seorang hamba Allah ingin berada di atas jalan yang benar, hendaknya sentiasa berpegang tegung pada sifat Allah ar-Rasyid dan mengamalkannya. Siapapun harus berhubungan dengan Tuhannya, dalam suatu cara di mana sepatutnya ia bersandar sepenuhnya.

Dengan demikian, semestinya serang hamba Allah sentiasa bersandar kepada Tuhannya, agar setiap kali masalah apapun mencabarnya, ia terus memohon pertolongan Allah kemudian menunggu isyarat hatinya yang akan menjawabnya.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

Thursday, June 8, 2017

Al-Warits

Asma ul-Husna ke-97

Al-Warits ertinya Allah Maha Membahagi dan Mewarisi, Zat yang kembali kepadaNya sekalian makhluk  sebagaimana firmanNya bermaksud:

Dan (hanya) kepunyaan Allahlah langit dan bumi, dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-appa yang kamu kerjakan.
(Ali Imran:180)

Maha Membahagi dan Mewarisi

Al-Warits, Maha Suci Ia, tetap ada setelah  binasanya semua makhluk. Dia mewarisi (mempunyai) segala sesuatu setelah kehancuran setiap orang dan segala sesuatu. Dialah Maha Pewaris, iaitu hari ketika kita keluar dari kubur, ketika tiada suatupun yang tersembunyi dari sisi Allah.

Akar katasifat al-Warits adalah waratsa, ertinya mewarisi. Dia akan mewarisi semua makhluk setelah kehancuran mereka. Dialah satu-satunya Zat yang tetap ada di mana segala sesuatu amat bergantung kepadaNya. Dia berfirman bermaksud:

Dan sesungguhnya hanyalah Kami (dan tak seorang pun yang lain) yang menghidupkan dan mematikan dan Kami adalah satu-satunya yang mewarisi.
(Al-Hijr:23)

Mewarisi

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kesembilanpuluh tujuh dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mewarisi apa sahaja yang menjadi bekalan hidup di dunia kepada ahli waris yang berhak menerimanya.

Apa yang hamba Allah miliki akan kembali kepadaNya; tidak ada sekutu bagiNya. Al-Warits adalah Zat yang kepadaNya semua keemilikan akan kembali setelah kematian para pemiliknya. Dialah Zat yang akan menyeru padari itu, Hari Keputusan.

Ramai orang secara salah mengira bahawa mereka memiliki sesuatu yang menjadi milik mereka sendiri, namun hakikatnya akan didedahkan di depan mata mereka pada Hari itu di mana kematian merampas segala-galanya termasuk benda-benda yang paling mereka sayangi.

Dengan meujuk dan berpedoman kepada sifat al-Warits ini, kita akan sentiasa terdedah untuk meninggalkan segala-galanya dan mewarisinya kepada generasi keturunan kita. Dan salah satu warisan yang berkekalan ialah warisan iman dan amal soleh.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna

Pustaka Azhar, 2010

Al-Baqi

Asma ul-Husna ke-96
 
Al-Baqi ertinya Allah Maha Kekal, Zat yang memiliki Kekekalan sebagaimana firmanNya bermaksud:

Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya
(Thaha:73)

Zat Yang Memiliki Kekekalan

Al-Baqi adalah salah satu sifat Allah yang akar katanya adalah baqa’, lawan dari kebinasaan. Ia juga bermakna ketaatan kepada Allah dan mengharap ganjaran-ganjaranNya atau kedudukan kebaikan yang tak hilang-hilang.

Hakikat al-Baqi, Maha Suci Ia, terletak padawujudNya yang abadi di mana keabadian merupakan salah satu ciri-ciriNya. Dia Maha Ada, yang tetap ada selamanya, dari permulaan dan tiada akhirnya.

Kewujudan Allah tergantung pada kebaikannya sendiri. Ia tidak terkena kebinasaan apapun dan juga tidak disentuh oleh masa atau waktu. Dia yang mencukupi diriNya sendiri selama-lamanya tanpa ditentukan oleh lama atau barunya waktu.

Teguh memegang prinsip

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kesembilanpuluh enam dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah teguh memegang prinsip dan mempertahankan kebenaran walau sampai titisan darah penghabisan.

Nasib baik yang dapat dicapai seorang hamba Allah apabila ia sering mengingati sifat ini dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari adalah bahwa Yang Maha Kuasa akan menyingkapkan kepadanya fakta-fakta abadi dan akan menjadikannya melihat jalan-jalan kebinasaan, maka ia akan lari segera ke Baqi dan menghiasi akhlaknya dengan makna sifat-sifat dan petunjuk moralnya.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

Bisik akal

Yang tidur lewat
yang bangun awal
harus mempersiapkan diri
melangkah di luar rumah.

Menyambungkan nafas
mengisikan kehidupan ini
yang terhimpit dibelit permasalahan
yang laju diterbangkan angin

aku berbisik kepada akal
tidak mudah menjadi manusia
terkadang-kadang kita dirantai
terkadang memusnah diri sendiri

akal berkata kepadaku:
hanya yang teguh keimanan
bakal menjadi manusia bahagia
seperti dimaktubkan janji Tuhan.

Nahmar Jamil
Negeri tercantik
DBP, 1986