Sunday, November 19, 2017

Pemilik kuasa

Ketika diri ghairah serakah
mengagungkan semua selain Engkau
mencari sebanyak-banyak solusi
percaya boleh selesai sendiri

Engkau yang menjadikan api itu sejuk
ketika Ibrahim sedang dibakar
Engkau yang menukarkan kibas
ketika Ismail dijadikan korban

Engkau yang membelah lautan
ketika Musa dikejar musuh
Engkau yang memberi mukjizat
ketika Muhammad dalam kesulitan
 
Memberi hidup pada yang mati
menyuburkan apa yang kontang
menggerakkan apa yang terhenti
mengatur segala di langit dan bumi.

Maka tidaklah susah bagiMu
untuk membetulkan  sesuatu
sesuai pada tempatnya
kena pada fitrahnya.

Ya Rabb, kuakui kini
akulah hamba yang tidak berdaya
langkahku terhenti di sini
kembali kuraih ihsanMu.

Kerana Engkau pemilik ilmu
sedang aku cuma punya rasa
kerana Engkau pemilik kuasa
sedang aku hamba yang tak punya apa.

Anizal Abdul Latif
Genius dari syurga,2015

No comments:

Post a Comment