Monday, January 25, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 7



Hadis yang pertama dari sahabat yang luas lautan ilmunya pentaksir Al-Quran yang handal, satunya ulama para sahabat yang istimewa, sayidina Abdullah bin Abbas ra daripada baginda rasul saw, sabdanya: Sesungguhnya Quraisy merupakan cahaya yang ada di sisi Allah sebelum dicipta Adam dua ribu tahun.Cahaya itu bertasbih (mengucapkan kesucian Allah) dan malaikat juga sama bertasbih mengikut tasbihnya. Maka apabila Allah jadikan Adam, disimpannya cahaya itu di dalam asal kejadian Adam.

Sabda rasulullah saw lagi: Maka Allah turunkan aku (cahaya) ke muka bumi di dalam tulang belakang Adam, dan diangkatkannya di dalam kapal dalam sulbi Nuh dan diletakkannya aku dalam sulbi Ibrahim ketika ia dicampakan ke dalam api. Begitulah Allah memindahkan aku dari sulbi-sulbi yang suci ke rahim-rahim yang bersih, dan mulia hingga aku dikeluarkan oleh Allah dari kedua ibubapaku sedang mereka tidak sekali-kali bersekedudukan dalam kekejian.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Kemahiran sistem


1. Memahami sistem: Mengetahui cara sistem sosial,organisasi dan teknologi bekerja serta menjalankannya secara berkesan
2. Memantau dan membaiki pencapaian: Membezakan haluan,meramal kesan tindakan kepada operasi sistem,mengesan penyimpangan dalam fungsi sistem / organisasi,serta mengambil tindakan yang perlu untuk memperbaiki pencapaia
3. Menambahbaik dan merekabentuk sistem: Mencadangkan penambahbaikan dalam sistem sedia ada untuk meningkatkan keluaran atau perkhidmatan, dan membangunkan sistem baharu atau sistem alternatif / pilihan

Wallahu alam.

Pelajaran 50 .......bahagian 5


Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Bermula orang yang alim yang tiada mengamalkan seperti ilmunya itu, maka jadilah ilmunya itu:........abu yang berhambur ( Al-Furqan: 23)

Yakni jikalau mencari pahala ilmunya itu tiada mendapat ia akan dia seberat zarrah jua pun. Dan orang yang berbuat ibadat dengan ketiadaan ilmunya itu, maka jadilah ibadatnya itu pada pihak tiada mendapat pahalanya kerana ilmu itu umpamanya pohon dan amal itu umpama buahnya.

Bermula yang diqasad dengan memeliharakan pohon itu kerana diambil buahnya bukan diqasad kepada  pohon hanyasanya mulia pohon kerana ia asal jikalau ada pekerjaan seperti  demikian. Maka engkau tahulah bahawasanya tiada memberi manfaat ilmumu itu melainkan yang engkau amalkan dan tiada memberi manfaat amal itu melainkan dengan ilmu jua.

Hai orang alim yang berbahagia lagi beriman, maka terimakan olehmu akan pengajaran ini, dan ingat-ingatkan olehmu akan dirimu atas segala makhluk Allah Taala dan takutkan olehmu akan istidraj.

Dan jangan besarkan akan dirimu atas segala makhluk Allah Taala dan ingatkan olehmu akan kisah iblis dengan nabi Allah Adam dan kisah abid bani Isra’il dengan khaliq bani Isra’il.

Dan jangan terpedaya engkau dengan suatu karamah yang zahir kepadamu dan ingatkan olehmu akan kisah Syeikh Bal’am.

Dan jangan terperdaya  engkau dengan banyak dunia dan banyak harta dan segala nikmat dunia yang datang kepadamu dan ingatkan olehmu akan kisah Qarun.

Dan jangan terpedaya engkau dengan banyak ilmumu dan banyak ibadatmu dan dengan banyak muridmu dan ingatkan akan kisah Syeikh Barshisha padahal baginya enam puluh ribu murid yang berjalan mereka itu di dalam hawa dengan berkat Syeikh Barshisha dan adalah ia terlebih banyak berbuat ibadat kepada Allah Taala daripada segala manusia yang pada maanya hingga tercengganglah segala malaikat daripada melihat ibadat mereka itu. Kemudian maka mati kafir, na’uzubillah min zalik.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Kaca maruah


Kemilau cahaya
bisa memukau
setiap pandangan yang singgah
lut sinarnya menembusi
aksara dan bicara
tak ternilai hargainya
tersusun di jari
atau tergantung di leher
warna cahayanya memercik
dialah ratu
dan raja pada status
di situ maruah
kejujuran yang diragu.

Kacanya pecah
hilang maruah
terlerai status
warnanya pudar
lenyap hilang kata
setelah segalanya
pecah dan serpihnya
menusuk kaki sendiri
dengan luka
yang amat dalam.

Ezani Hj Daud
Kota Bharu, Kelantan.
Mingguan Malaysia
17 Januari 2016

Bertemu berpisah hanya keranaMu


Saat ini duhai Tuhan…
kami menilai di dalam hati sendiri
saatnya pasti tiba untuk kami merasai
apa itu perpisahan abadi
apa itu pergi yang tidak akan kembali

Saat itu duhai Tuhan
kami tidak mampu menghitung lagi
kerana terasa kecil benar amalan kami
apakah sudah cukup sebagai mahar untuk meraih syurgaMu
kami sendiri tidak pasti

Saat itu duhai Tuhan…
kami muhasabah kembali
Rasulullah telah lama kembali pergi
kini yang tinggal hanya kami untuk mengikuti sunnahnya
sedangkan ingin benar kami menemuinya kekasih yang sejati

Saat ini Tuhan…
kami memohon agar Engkau tabahkan hati kami
daripada saat ini hinggalah Engkau takdirkan
kami harus pergi
agar tetap sentiasa berada di dalam agamaMu
jua agar kami tidak akan tersesat ketika nyawa tiada lagi

Namun Tuhan…
andai telah tiba perpisahan abadi
mohon kami ya Allah…
temankanlah kami semua di syurga menanti
seperti yang telah Engkau janjikan kepada kami
bahawa bertemu dan berpisah hanyalah keranaMu

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013

Al-Qabidh

Asma Ul-Husna 21

Al-Qabid ertinya Allah Maha Penyempit Hidup yang Menggenggam, Menyempitkan Rezeki dan Menguranginya bagi seseorang yang disempitkan sebagaimana firmanNya bermaksud:

...dan Allahlah yang menyempitkan (yaqbidhu) dan melapangkan (rezeki) dan kepadaNyalah kalian akan kembali.
(Al-Baqarah:245)       

Maha Menyempitkan Rezeki dan Menguranginya

Secara linguistik, qabidh, akar kata kerja dari al-Qabidh, bererti mengambil, memegang, menangkap, mencengkeram, menahan, mengawal. Ia bererti pegangan sesuatu dengan tangan seperti gagang pedang dan lain-lain. Ia dimaksudkan sebagai suatu cara untuk mengambil kawalan secara tegas akan sesuatu atau seseorang.

Allah swt telah berfirman dalam pengertian ini....dan Allahlah yang menyempitkan dan melapangkan, ertinya Dia menyempitkan, menahan, rezekiNya dari sebahagian orang sedangkan bagi sebahagian yang lain melapangkannya.

Al-Qabidh ertinya Zat yang menahan jiwa-jiwa dengan menaklukkan mereka, ruh-ruh dengan menjalankan keadilan dalam perkara mereka, pembahagian rezeki dengan kebijaksanaanNya, dan kalbu-kalbu dengan menjadikan mereka takut akan kemuliaanNya.

Al-Qabidh adalah Zat yang menyebabkan jiwa-jiwa dicabut dari tubuh-tubuh mereka, kediaman sementara mereka, di saat kematian. Malaikat yang mencabut jiwa-jiwa (yakni qabidh) dalam Islam disebut Izrail.

Al-Qabidh adalah Zat yang menguasai hati-hati, yang mengendalikan mereka, yang memisahkan mereka melalui kurangnya ilmu mereka, melalui pengawasan mereka sendiri. Dia menguasai kalbu-kalbu, sehingga Dia menyingkapkan kepada mereka kebesaran dan kemuliaanNya.

Sifat manusia yang keduapuluh satu ialah serba terhad ilmu dan rezekinya
 
Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang keduapuluh satu dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mempunyai keterbatasan dari segi ilmu, rezeki dan umur.

Sifat ini juga menjadi cermin bahawa hanya Allah swt dengan sifatnya sebagai Al-Qabidh yang berkuasa Menggenggam, Menyempitkan Rezeki dan Menguranginya bagi seseorang sesuai dengan iradat dan kemahuanNya.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010
ms 52 - 53

Friday, January 22, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 6

Kami mulakan kisah Maulid ini dengan membawa dua perkhabaran berhubung dengan nabi yang tinggi darjatnya ini, mulia keturunannya dan lurus perjalanannya. Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui telah berfirman berhubung dengannya: Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat atas nabi (nabi Muhammad); Wahai sekalian orang yang beriman berselawatlah kamu atasnya dan bertaslimah.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Kemahiran informasi


1. Memperoleh dan menilai maklumat : Mengenal pasti keperluan untuk memperoleh data, mendapatkannya daripada pelbagai sumber atau menciptanya serta menilai kesesuaian dan ketepatannya
2. Menyusun dan menyelenggara maklumat : Menyusun,memproses dan memelihara rekod bertulis atau berkomputer serata maklumat dalam bentuk-bentuk lain secara sistematik
3. Menterjemah dan menyebarkan maklumat: Memilih dan menganalisis maklumat serta menyebarkan hasil-hasil kepada orang lain secara lisan,tulisan,grafik,gambar atau persembahan multimedia
4. Menggunakan komputer untuk proses maklumat: Menggunakan komputer untuk memperolehi,mengatur,menganalisis dan menyampaikan maklumat


Wallahu alam.

Pelajaran 50 .......bahagian 4

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Maka ketahui olehmu, bahawasanya orang yang alim itu apabila sudah tergelincir, maka jangan engkau ikut akan dia. Dan jangan engkau ambil agama kamu daripadanya dan jauhkan olehmu akan dirimu daripadanya dan takutkan olehmu akan dia.

Sabda nabi shallallahu’alaihi wasallam di dalam Jami’ Ash-Shaghir: Takutkan oleh kamu akan tergelincir orang yang alim, maka bahawasanya tergelincir itu dibalik akan dia atas kepalanya dan dibawahkan akan dia bagi muka dan dicampakkan akan dia kepada pintu neraka jahannam.

Kerana dosa yang besar yang terbit daripada gelincir orang yang alim itu tiada dapat hingga kerana ia ikutan segala makhluk.

Bermula yang terlebih patut bagi orang yang alim itu terlebih takut akan Allah Taala daripada segala makhluk dan terlebih zahid daripada segala makhluk dan terlebih wara’ daripada segala makhluk dan terlebih meninggalkan syahwat daripada segala makhluk.

Maka bahawasanya segala kelakuan orang yang alim itu bagi dirinya dan bagi orang yang lain, maka binasanya itu binasa yang lalai bagi orang yang lain dan baiknya itu baik yang lalai bagi orang yang lain kerana ia ikutan  segala makhluk.

Hai anak Adam, apabila engkau lihat akan orang yang alim yang muwafakat perbuatannya itu dengan perkataannya, iaitulah alim yang sebenarnya. Dan hampirkan olehmu kepadanya dan ambilkan olehmu agamamu daripadanya. Dan adalah ilmunya itu sekira-kiranya memberi manfaat kepadamu kerana ilmu yang keluar daripada hatinya sekira masuk ke dalam hatimu. Dan ilmu yang keluar daripada lidah itu masuk kepada zahir telingamu jua tiada sampai ke dalam hatimu.

Hai anak Adam, takutkan olehmu akan orang yang alim yang tergelincir, yakni orang yang berbuat ia akan kembalinya kepada m,engamalkan ilmunya kerana ilmu itu tiada ia mensia-siakan akan yang empunya dia pada ghalib.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Kunci dan pintu

Bagaimana hendak
kumasuki dua pintu
tanpa kunci?
Pintu waktu
dan pintu hati.

Kini kumasuki
pintu waktu
di ruang solat
pintu hati
di luang zikir.

Dua pintu
satu kunci
siap di tangan ini.

Abdul Hadi Yusoff
Kota Bharu Kelantan.
17 Januari 2016

Mereka anugerah daripadaMu…


Allah…
tiada kata yang mampu diucap
kerana menghadirkan mereka dalam hidup kami
ketika kami benar-benar mengharapkan
akan ada generasi yang mewarisi cinta ini

Kau berikan kami anak-anak yang soleh dan solehah
sebagai penyejuk mata
maka kami raikan dengan penuh kesyukuran

Allah…
kami menadah tangan dan memohon padaMu
selamatkan mereka daripada fitnah dan pancaroba
atau ujian yang menggugah nilai keimanan dan ketakwaan
kerana mereka zuriat kami yang telah engkau amanahkan

Duhai Allah
bantulah kami dalam mendidik mereka
bukan hanya tahu mengajar sahaja
bantulah kami dalam menunjukkan contoh yang setia
mudah-mudahan mereka menjadi hambaMu yang berguna

Allah…
kami tidak mampu melakukan semua ini
tanpa rahmat dan bantuan daripadaMu
maka, bantulah kami dalam agamaMu
kerana mereka anugerah daripadaMu.

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013

Al-’Alim


Asma Ul-Husna  20

Al-’Alim ertinya Allah Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang benar dan tiada had sebagaimana firmanNya bermaksud:

Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui
(Al-Anfaal:61)

Zat Yang Maha Mengetahui

Al-’Alim berasal dari kata ’ilm, ertinya ilmu, yakni hasil dari memahami kebenaran tentang sesuatu dan dari keyakinan pasti yang sesuai dengan realiti.

Kata ’ilm ini bersumber dari suatu kata kerja yang juga mengandungi erti mengetahui atau menyedari.

Al-’Alim ketika dikaitkan kepada yang Maha Kuasa adalah Zat yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya ilmunya meliputi segala sesuatu bahkan sebelum segala sesuatu itu mulai ada. Tidak sesuatu pun yang luput dari pengentahuanNya. Dialah Zat yang ilmuNya serba meliputi, baik yang gaib mahupun yang nyata, kecil mahupun besar. Dia mengetahui awal ataupun akhirnya, apa yang di atas ataupun yang di bawahnya.

Demikian juga, Al-’Alim adalah Zat yang mengetahui apa yang telah dan akan terjadi. Pengetahuan tentang yang gaib ada di sisiNya dan demikian pula pengetahuan akan saat (hari kiamat). Dia tahu apa yang dikandung rahim, bila turun hujan, apa yang diperolehi setiap jiwa, niat buruk apa yang disembunyikan, hasrat duniawi apa yang disembunyikan olehnya, bila dan di mana seseorang akan mati.

Al-’Alim adalah Zat yang mengetahui segala sesuatu, kekhususan segala sesuatu, apa yang disembunyikan dalam kesedaran dan jiwa seseorang. Tak sesuatu pun bahkan berat satu atom pun di muka bumi ataupun di langit yang luput dari ilmuNya.

Sifat manusia yang keduapuluh ialah alim dan memiliki ilmu pengetahuan

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kedua puluh dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mempunyai kealiman, kearifan dan ilmu pegetahuan.

Tiada sebarang ilmu yang dapat diperoleh melainkan dengan rahmat dan kemudahan yang diberikan oleh Allah iaitu berupa akal fikiran. Dengan itu ilmu yang kita miliki ialah hasil daripada kepemurahan Allah yang membekalkan jentera akal kepada kita sehingga kita dapat menghayati dan mengamalkan ilmu.
Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010
ms 50-51

Wednesday, January 20, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 5


Maha Suci Tuhan yang telah mengutamakan saw dengan kemuliaan, kedudukan dan pangkat yang tinggi. Aku memujiNya (Allah) atas segala pemberianNya yang begitu banyak. Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang esa tiada sekutu bagiNya, Tuhan yang menguasai timur dan barat.

Dan aku menyaksikan bahawa penghulu kami Muhammad hamba Allah dan pesuruhNya yang diutus kepada sekalian orang Ajam dan Arab. Selawat Allah dan salamNya atas baginda dan atas keluarga serta sahabatnya yang telah membuat jasa dan mendapat kemuliaan.Selawat dan salam yang berkekalan dan bergandingan yang mana orang yang mengucapkannya akan datang di hari kiamat kelak tidak akan kecewa.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Kemahiran sumber



1. Pengurusan masa: Memilih aktiviti yang sesuai dan berkait dengan matlamat,menyusun keutamaan,memperuntukkan masa bagi aktiviti serta memahami,menyediakan dan mematuhi jadual yang dirancang
2. Pengurusan kewangan: Menyiapkan belanjawan,mengambil kira perbelanjaan dan meneka hasil,mencatat perincian untuk engetahui dan memantau urutan belanjawan dan membuat penyesuaian
3. Pengurusan bahan dan fasiliti (kemudahan): Memperoleh,menyimpan ,mengatur dan mengedarkan bahan-bahan,komponen,peralatan,tempat atau hasil pengeluaran akhir supaya dapat digunakan dengan baik
4.Pengurusan sumber manusia:Menilai pengetahuan dan kemahiran serta menjalankan khidmat yang berkaitan, menilai prestasi dan memberi maklum balas
5. Pengurusan risiko: Mengenal pasti,menilai,menganalisis dan mengambil kira risiko dengan cermat dan hati-hati
6. Penyertaan sebagai ahli: Bekerja secara bersama dengan teman dan memberi sumbangan kepada kumpulan berupa idea-idea,cadangan dan usahasama
7. Mengajar yang lain: Membantu orang lain mempelajari ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan;mengenal pasti keperluan latihan dan memberi maklumat pekerjaan untuk membantu teman
8. Melayan pelangan: Bekerja dan berkomunikasi kepada pelanggan untuk memberi kepuasan yang sesuai dengan harapan mereka
9. Menggunakan keupayaan kepepimpinan: Menyampaikan fikiran,perasaan dan idea-idea untuk memberi sokongan,keyakinan,kepercayaan atau motivasi kepada individu atau kelompok, termasuk bertanggungjawab terhadap keputusan berlawanan dengan peraturan bekerja,panduan dan kekuasaan.
10. Melakukan perundingan: Berunding untuk mencapai kesepakatan yang mungkin melibatkan bantuan-bantuan khas atau menyatukan kepentingan yang bercanggah
11. Bekerja dengan budaya berbeza: Boleh berkerja dengan lelaki dan perempuan pelbagai bangsa, sosial atau berbeza latar belakang pendidikan.

Wallahu alam.

Pelajaran 50 .......bahagian 3


Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Hai anak Adam, ketahui olehmu, maka bahawasanya barangsiapa tiada mengamalkan tiga perkara ini maka tiada memberi manfaat oleh Allah Taala akan amalnya dan jikalau ada ia alam daripada segala manusia isi dunia sekalipun:

1. Jangan engkau kasih akan dunia yang lebih daripada sekadar hajat, yakni yang tak dapat tiada baginya kerana dunia ini bukan tempat mu’min.

2. Jangan engkau sakit akan hati seorang dengan tiada sebenar kerana menyakiti orang itu bukan daripada perangai mu’min.

3. Jangan engkau bersahabat dengan segala raja-raja kerana ia bukan sahabat orang yang mu’min.

Hai anak Adam, jikalau tiada engkau amalkan akan yang tiga perkara ini, jikalau ada engkau hafazkan seribu kitab sekalipun maka adalah engkau seperti keldai yang menanggung kitab, seperti firman Allah Taala:

....seperti keldai yang menunggang ia akan kitab.... (Al-Juma’ah: 5)
 
Yakni pada pihak tiada mengambil manfaat daripada kitab melainkan payah dan susah jua.

Hai anak Adam, jikalau ada engkau lihat orang yang alim padahal sangat kasih akan dunia pada zahir dan batin atau memakai emas atau sutera atau berulang-ulang keluar masuk pada pintu raja-raja atau barang sebagainya daripada segala dosa besar atau dosa kecil atau segala pekerjaan ulama dunia dan ulama Al-Jababirah, seperti memakai kain kelam-kiri atau barang sebagainya daripada segala kain yang bertenun emas atau melukiskan rumah atau madrasah atau barang sebagainya daripada segala perhiasan dunia yang membawa kepada takabbur lagi melalaikan hati daripada berbuat ibadat dan akan zikrullah.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Pesanan tanpa suara seorang ibu (buat anak ke sekolah)


Melerek senyum ibu
anak tekun menggali ilmu
patuh panduan guru
nanti mampu berjasa
demi agama, bangsa dan nusa.

Renungan mata ibu
bergayutan rasa pilu
berpisah seketika
anak yang petah bersuara
sering ibu kehilangan
sabar sementara.

Lambaian tangan ibu
mengharap kepergian
tidak terganggu
pulang sarat ilmu.

Nordin Saad
Sri Tunjong, Perlis
Mingguan Malaysia.
17 Januari 2016

Langkah ini dalam naunganMu….


Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar
langkah ini telah lama kami mulakan
telah lama kami susun dan atur dengan berpandu ilmuMu
jua menurut apa yang kekasihMu, Muhammad saw ajarkan

Wahai Dzat Yang Maha Mengetahui
satukanlah hati kami untuk membesarkanMu
tanamkanlah rasa kasih sayang
agar kami sentiasa mengingatiMu
kerana kami tahu dugaan pasti akan datang lagi

Wahai Tuhan Yang Maha Bijaksana
tidak kami takuti dan gentar ujian yang menyapa
namun kami bimbang andai teralpha dalam fitnah dunia
itulah ujian yang lebih dahsyat dan besar
ketika langkah kami semakin deras menuju impian yang dicita

Wahai Tuhan Yang Maha Memakbulkan doa
penuhilah  hajat kami yang mahukan cintaMu
sempurnakanlah cita-cita kami untuk bernaung
di bawah ArasyMu
makbulkanlah doa kami untuk menjadi kekasihMu
serta bimbinglah kami yang mahukan perlindungan…

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013

Al-Fattah

Asma Ul-Husna 19

Al-Fattah ertinya Allah Maha Pemberi Keputusan atau Maha Membuka Khazanah Rahmat sebagaimana firmanNya bermaksud:

Katakanlah (olehmu): Tuhan kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat), kemudian Ia akan memberi keputusan (yattahu) di antara kita dengan benar dan Dia Maha Pemberi Keputusan lagi Maha Mengetahui
(Saba’:26)

Maha Memberi Keputusan dan Maha Membuka

Dalam bahasa Arab, fataha adalah kata kerja yang bererti membuka dan miftah ertinya kunci, sedangkan fath bererti kemenangan atau penaklukan. Fath juga bererti air yang mengalir, bunyi gemericik atau sungai. Ia juga bererti: mendamaikan di antara dua pihak yang saling berlawanan. Istiftah bererti meminta pertolongan atau mencapai kemenangan.

Mengatakan bahawa Allah adalah al-Fattah bererti menyatakan bahawa Dia adalah Zat yang memutuskan di antara orang-orang yang Dia ciptakan, para hambaNya, yang taat mahupun yang derhaka. Ia berasal dari perkataan fath yang ertinya pengambilan keputusan. Ia sebagaimana doa yang tersebut di dalam al-Quran:

Wahai Tuhan kami! Berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah adalah yang terbaik di antara para pemberi keputusan.
(Al-A’raf:89)

Ia juga bererti Zat yang memberi kemenangan sebagaimana terdapat dalam surah al-Anfal ayat 19 bermaksud: Jika kalian menginginkan kemenangan (intastaftihu), maka sesungguhnya kemenangan (fath) telah datang kepada kalian.

Al-Fattah adalah Zat yang membuka masalah-masalah dan isu-isu (yang mengalami) jalan buntu, yang mendedahkan kebenaran, yang menyederhanakan apapun yang tampaknya sukar, yang mengendalikan perkara-perkara langit dan bumi.

Oleh itu Al-Fattah adalah Zat yang membuka apa yang tertutup dan yang mempunyai kunci atas segala sesuatu yang membuka lebar-lebar pintu-pintu rezeki dan mencurahkan hujan di mana Dia menghidupkan kembali tanah-tanah yang tandus, yang memberi kejayaan dan pertolongan bagi para nabiNya yang Dia utus ke berbagai negeri sehingga cahaya kebenaran bersinar di dalamnya, yang menyucikan jiwa-jiwa mereka dari niat-niat buruk.  Dia membuka hati-hati yang tertutup dan memenuhinya dengan cahayaNya sehingga hati –hati tersebut menjadi damai.

Sifat manusia yang kesembilanbelas ialah membuka dan mendorong pintu-pintu kebaikan

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kesembilanbelas dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah dengan mendorong perbuatan-perbuatan baik dan melakukan segala unsur kebaikan untuk kemenangan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Di antara perbuatan-perbuatan baik tersebut adalah seseorang harus memelihara sikap pandangan elok akan kemurahan Allah, secara terus menerus berharap menerima kurniaNya, sentiasa mencari rahmatNya, meninggalkan ketergesa-gesaan, perasaan puas dengan nasibnya dan dengan apapun yang Allah telah perintahkan kepadanya.

Kebahagiaan adalah harta karun yang tidak pernah tamat tempohnya, demikan sebuah peribahasa Arab. Alangkah benarnya ungkapan itu!

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010

Monday, January 18, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 4

Kemudian Aku kembalikannya daripada Arasy, sebelum sejuk tempat tidurnya, setelah ia mendapat apa yang dikehendakinya.

Ingatlah ketika bumi Tayibah (madinah) mendapat kemuliaannya dengan ketibaannya, maka datanglah mendapatkannya segala jiwa orang yang cintakannya, dengan berjalan kaki dan berkenderaan.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Kemahiran sumber


1. Pengurusan masa: Memilih aktiviti yang sesuai dan berkait dengan matlamat,menyusun keutamaan,memperuntukkan masa bagi aktiviti serta memahami,menyediakan dan mematuhi jadual yang dirancang
2. Pengurusan kewangan: Menyiapkan belanjawan,mengambil kira perbelanjaan dan meneka hasil,mencatat perincian untuk engetahui dan memantau urutan belanjawan dan membuat penyesuaian
3. Pengurusan bahan dan fasiliti (kemudahan): Memperoleh,menyimpan ,mengatur dan mengedarkan bahan-bahan,komponen,peralatan,tempat atau hasil pengeluaran akhir supaya dapat digunakan dengan baik
4.Pengurusan sumber manusia:Menilai pengetahuan dan kemahiran serta menjalankan khidmat yang berkaitan, menilai prestasi dan memberi maklum balas
5. Pengurusan risiko: Mengenal pasti,menilai,menganalisis dan mengambil kira risiko dengan cermat dan hati-hati
6. Penyertaan sebagai ahli: Bekerja secara bersama dengan teman dan memberi sumbangan kepada kumpulan berupa idea-idea,cadangan dan usahasama
7. Mengajar yang lain: Membantu orang lain mempelajari ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan;mengenal pasti keperluan latihan dan memberi maklumat pekerjaan untuk membantu teman
8. Melayan pelangan: Bekerja dan berkomunikasi kepada pelanggan untuk memberi kepuasan yang sesuai dengan harapan mereka
9. Menggunakan keupayaan kepepimpinan: Menyampaikan fikiran,perasaan dan idea-idea untuk memberi sokongan,keyakinan,kepercayaan atau motivasi kepada individu atau kelompok, termasuk bertanggungjawab terhadap keputusan berlawanan dengan peraturan bekerja,panduan dan kekuasaan.
10. Melakukan perundingan: Berunding untuk mencapai kesepakatan yang mungkin melibatkan bantuan-bantuan khas atau menyatukan kepentingan yang bercanggah
11. Bekerja dengan budaya berbeza: Boleh berkerja dengan lelaki dan perempuan pelbagai bangsa, sosial atau berbeza latar belakang pendidikan.

Wallahu alam.

Pelajaran 50 .......bahagian 2

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Hai hamba dunia, tiada kamu itu seperti hamba yang takut dan tiada kamu seperti hamba yang merdeka yang mulia dan hampirlah dunia itu bahawa menjatuh akan kamu ke dalam neraka.

Hai anak Adam, ketahui olehmu bahawasanya tiada ilmu itu melainkan yang diamalkan dengan dia. Bermula hakikat mengamalkan dengan ilmu itu meninggalkan yang segera kerana yang takut, yakni meninggalkan nikmat dunia yang hina kerana harap akan nikmat akhirat yang mulia dan celaka orang yang jahil itu kerana tiada belajar sekali-kali.

Bermula celaka orang yang alim yang tiada mengamalkan dengan barang yang telah mengetahui itu seribu kali dan jikalau engkau lihat akan orang yang alim padahal ia kasih akan dunia, maka jangan engkau ambil akan agamanya daripadanya kerana ia terlebih jahat daripada Dajjal seperti sabda nabi shallallahu ’alaihi wassalam:

Aku takut daripada lain dari Dajjal ter;lebih aku takut atas kamu daripada Dajjal. Maka berkata berkata sahabat: Siapa ya rasulullah? Maka sabdanya: iaitu ulama yang jahat.

Bermula kerana bahawasanya Dajjal sehabis-habis sesat. Bermula seumpama alim ini memaling ia akan segala manusia daripada dunia dengan lidahnya dan perkataannya jua maka iaitu yang menyerukan manusia kepada dunia dengan perbuatannya dan kelakuannya.

Bermula lidah hal itu terlebih bertutur ia daripada lidah maqal. Bermula perangai manusia itu kepada mengikut perbuatan terlebih cenderung hatinya daripada barang yang membaik dengan perkataannya kerana tiada berani orang jahil atas gemar kepada dunia itu melainkan dengan sebab memberani oleh ulama yang jahat, maka jadilah amalnya itu sebab bagi memberi berani segala hamba Allah atas mengerjakan maksiat akan Allah kerana kasih akan dunia itu kepala bagi tiap-tiap segala kesalahan.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Ketika ini Tuhanku…


Ketika ini Tuhanku…..
hanya ada aku dan Kamu
kutinggal sebentar nikmatnya dunia
untuk bangun dan merintih kepadaMu

Ketika ini Tuhanku…
ujian tidak berhenti-henti menduga
aku mengaku bukan mudah untuk kulaluinya
kerana aku juga manusia biasa yang tidak sempurna apa-apa

Ketika ini Tuhanku…
aku rela segala hidupku
hanya untuk aku gunakan padaMu
meskipun datang badai dan gelombang
yang tidak berhenti menyapaku

Ketika ini Tuhanku…
berikan aku semangat itu
yang penah dimiliki para kekasihMu
agar  akhirnya kelak
aku mampu mengikuti jejak mereka
di dalam indahnya syurgaMu.

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013

Saturday, January 16, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 3


Dia dibangkitkan dari golongan Tihamah, dekat dengan hari kiamat; di belakang badannya ada alamat (tanda). Dilindungi awan ke mana ia pergi. Ia ditaati oleh awan yang mengandungi hujan.

Putih bersih dahinya; hitam rambutnya; baik paras mukanya. Pendengarannya mencapai bunyi Qalam menulis; penglihatannya menembusi tujuh petala langit. Dua tapak kakinya pernah dikucup oleh unta lalu hilang apa yang dideritai oleh unta itu dari bebanan dan kesusahan. Bintang dhab pernah beriman dengannya. Pokok pernah memberi salam kepadanya. Batu pernah berkata-kata kepadanya. Tunggul pernah menangis mengungui seolah-olah mengadu kepadanya.

Keberkatan kedua belah tangannya nyata pada makanan dan minuman. Hatinya tidak pernah lalai. Dan tidak pernah tidur; tetapi sentiasa menjaga khidmat ibadat kepada Allah. Jika ia diganggu, ia memaafkan dan tidak bertindak balas. Jika ia diajak berkelahi ia diam dan tidak menjawab. Aku (Allah) angkat dia ke martabat yang paling mulia; dalam satu angkatan yang tidak pernah didapati oleh sesiapa sebelumnya atau sesudahnya. Dalam satu perarakan malaikat yang mengatasi segala perarakan. Hingga apabila ia berlepas dan berpisah dari dua alam hingga sampai dekat sekali sekadar antara dua busur panah, ketika itu Akulah yang menjadi kawan yang berkata dengannya.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Kualiti peribadi


1. Bertanggungjawab: Menunjukkan usaha dan ketabahan yang tinggi untuk mencapai matlamat. Bekerja keras untuk mencapai kecemerlangan dalam tugas dengan menetapkan standard yang tinggi,memberi perhatian pada perincian,bekerja dengan baik dan menunjukkan tahap tumpuan yang tinggi.
2. Harga diri: Yakin pada kemampuan diri dan mengekalkan pandangan kendiri yang positif; memperlihatkan pengetahuan,kemahiran dan kemampuan;sedar akan kesan diri terhadap orang lain;mengetahui keperluan emosi dan mampu mengawalnya
3. Pergaulan: Menunjukkan sifat memahami,mesra,mudah menyesuaikan diri,bersopan santun dalam kelompok kenalan baharu atau yang sedia,menyesuaikan diri dengan orang lain; memberi perhatian kepada hal yang diperkatakan dan yang dilakukan oleh orang lain.
4. Pengurusan diri: Menilai pengetahuan kemahiran dan kemampuan diri dengan tepat; menentukan matlamat yang realistik; memantau kemajuan pencapaian matlamat dan mendorong diri untuk mencapai matlamat
5. Integriti / jujur: Boleh dipercayai,sedar apabila membuat keputusan,memahami akibat jika melanggar peraturan organisasi,diri sendiri dan orang lain;serta mengambil tindakan secara beretika
6. Kecermatan: Menunjukkan usaha dan komitmen yang tinggi untuk mencapai hasil kerja yang cemerlang;disiplin yang tinggi dengan kehadiran tepat waktu,bersemangat dan optimis dalam bekerja dan menyelesaikan tugas
7. Kemampuan adaptasi:Terbuka untuk menerima perubahan dan maklumat baru; menyesuaikan perangai atau cara kerja dalam perubahan keadaan atau halangan yang tidak terjangka
8. Kemampuan bekerja tanpa penyeliaan: Bekerja dengan hanya sedikit penyeliaan;memiliki dorongan motivasi untuk meningkatkan diri dan menunjukkan perangai bertanggungjawab
9. Keselamatan bekerja: Kesedaran tentang tatacara dan amalan keselamatan dan kesihatan diri dan kumpulan dan melaksanakan peraturan yang berkenaan.

Wallahu alam.

Pelajaran 50 .......bahagian 1

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata nabi Isa ’Alaihissalam bagi ulama yang jahat yang bimbang mereka itu dengan membanyakkan harta dan menghimpunkan dunia itu, demikian katanya:

Hai ulama yang jahat, padahal kamu puasa dan kamu sembahyang dan kamu memberi sedekah padahal kamu tiada kamu berbuat akan yang disuruh oleh Allah Taala akan kamu dan kamu ajarkan akan orang yang lain akan ilmu yang tiada kamu amalkan akan dia.

Hai ulama yang jahat, sangatlah jahat yang kamu hukumkan akan dia padahal kamu taubat dengan perkataan kamu dan dengan angan-angan kamu jua dan kamu perbuat dengan mengikut hawa nafsu kamu dengan tiada mengiakan daripada kamu bahawa kamu sucikan akan kulit kamu yang zahir padahal hati kamu itu berlumur dengan najis yang batin, iaitu sangat kasih akan harta dan sangat kasih akan dunia dengan sebenar-benar yang aku kata.

Hai ulama yang jahat, jangan kamu jadikan diri kamu seperti tempat yang diayak tepung yang keluar daripadanya itu tepung yang lumat-lumat lagi baik, dan yang tinggal di dalamnya itu tepung yang kasar-kasar dan sekam dan seperti demikianlah kamu itu kamu keluarkan daripada mulut kamu itu beberapa ilmu hikmah yang halus-halus lagi baik, padahal kamu tinggal di dalam dada kamu dendam dan dengki dan kasih akan harta dan kasih akan dunia dan kasih akan kemegahan dan kasih akan masyhur dan kasih akan jadi kepala orang dan kasih akan puji oleh orang dan barang sebagainya maksiat yang batin dan segela perangai yang jahat dan segala perangai munafiq.

Hai hamba dunia, betapa mendapat akan akhirat oleh orang yang tiada menghilangkan akan dsegala keinginan itu daripada dunia dan tiada memutuskan ia akan gemarnya kepada dunia dan kamu jadikan akan dunia itu di bawah lidah kamu dan kamu jadikan akan amal kamu itu di bawah tapak kaki kamu dengan sebenar-benarnya aku kata bagi kamu.

Hai ulama yang jahat, telah kamu binasakan akan akhirat kamu, maka baik dunia kamu itu terlebih kasih kepada kamu daripada baik akhirat kamu, maka siapa manusia yang terlebih jahat daripada kamu.

Hai ulama yang jahat, adalah kamu itu seolah-olah kamu menyerukan akan orang yang mempunyai kekayaan dunia itu supaya meninggal mereka itu akan dunia mereka itu bagi kamu padahal perlahan-lahan.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Bantulah kami taat padaMu…


Ya Allah…
hati kami kembali berbicara padaMu
memohon dengan sepenuh hati tanpa jemu
kami mendambakan kejayaan seperti yang Kau mahu
jua sebuah kegemilangan yang dinikmati umat terdahulu

Ya Allah…
muliakanlah hati yang ikhlas menyampaikan agamaMu
ampunkanlah khilafnya andai teralpha mengingatiMu
kerana Kaulah yang Maha Sempurna
sedangkan kami hanya menumpang di muka bumi ini

Ya Allah…
bantulah kami dalam melakukan ketaatan kepadaMu
tolonglah kami dalam mengingatiMu
diri ini serba lemah dan amat memerlukan perhatianMu
maka,didiklah kami agar sentiasa bersabar
dalam meminta jalan keluar daripadaMu

Ya Allah…
dorongkanlah hati kami untuk sentiasa melakukan
kebaikan dan kebenaran
jauhkanlah kami daripada melakukan dosa dan maksiat
tenangkanlah hati kami dengan hanya menyebut namaMu
kerana kami tahu Engkau Maha Tahu segala sesuatu…

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013